Sabtu, 21 September 2013

Akhramsyah dengan slogan Hidup Melayu

AKHRAMSYAH Muammar Ubaidah Sanusi muncul dengan tiba-tiba sebagai calon pencabar penyandang jawatan Ketua Pemuda Umno.

Sebelum ini orang hanya melihat Khairy Jamaluddin satu-satunya pemimpin muda yang berkaliber dan sukar dicabar. Tetapi dengan munculnya Akhramsyah dengan slogan "Hidup Melayu" telah mengubah senario politik pemuda.
Akhramsyah Sanusi

Khairy masih kelihatan gagah dan sukar digugat; tapi cabaran Akhramsyah tidak boleh diambil mudah. Dengan latarbelakangnya yang berpendidikkan tinggi dan anak kepada seorang bekas pemimpin Umno, Tan Sri Sanusi Junid, auranya boleh menarik dan memikat ahli pemuda.

Bapanya, Tan Sri Sanusi adalah bekas pemimpin Umno yang penting dan memainkan peranan utama di era Tun Dr Mahathir Mohamad. Pernah menjadi Setiausaha Agung Umno dan Naib Presiden. Seorang bekas menteri yang banyak idea-idea kreatif dan unik. Seorang pemidato hebat yang sukar ditandingi hingga sekarang.

Dan juga seorang sahabat dan musuh ketat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Apakah Akhram ada mempunyai bakat dan kebolehan seperti bapanya ? Jika jawabannya, Ya, dia akan menjadi pemimpin penting masa depan Umno.

Langkahnya bertanding jawatan Ketua Pemuda hanyalah satu permulaan untuk menuju perjalanan yang lebih jauh. Kalah atau menang, kemaraan Akhram dalam politik Umno tidak boleh disekat lagi seolah sudah kelihatan cahaya di hujung terowong.

Tambah manis lagi dengan populariti Mukhriz Mahathir yang bakal menjadi Naib Presiden Umno menjadikan keduanya bagaikan pasangan mantap pemimpin muda Umno dengan slogan "Hidup Melayu".

Kepada Mukhriz dan Akhram - lawan jangan tak lawan !


Rabu, 24 Julai 2013

Ahad, 26 Mei 2013

Johan, Awang Sulung dan Lanang Sejagat

AWANG SELAMAT adalah satu nama tidak asing dalam akhbar harian Utusan Malaysia. Ia muncul setiap hari sebagai ruangan pojok akhbar tersebut. Pada setiap Ahad dalam Mingguan Malaysia, Awang muncul dalam ruangan yang lebih meluas dengan analisa isu yang pelbagai.

Secara tradisinya pojok Awang Selamat ditugaskan pada Ketua Pengarang Kumpulan akhbar tersebut. Semua komen dan pandangannya adalah mencerminkan sikap dan pendirian akhbar Utusan.

Almarhum Tan Sri Melan Abdullah, Almarhum Tan Sri Mazlan Nordin dan Tan Sri Zainuddin Maidin adalah antara Ketua Pengarang Utusan yang pernah mengisi ruangan pojok tersebut.
Johan Jaafar

Tetapi pada tahun 1992 bila Datuk Seri Anwar Ibrahim mula bertapak dan berpengaruh dalam barisan kepimpinan Umno, beliau telah melantik dan membawa masuk Datuk Johan Jaafar ke dalam Utusan. Johan diberi tugas sebagai Ketua Pengarang menggantikan Zainuddin Maidin atau Zam.

Johan adalah orang pertama di luar Utusan diberi jawatan itu. Sebelum itu Pak Melan, Mazlan dan Zam bermula dan membesar dalam Utusan sehingga ke jawatan tinggi itu.

Yang menariknya, Johan mempunyai latarbelakang sebagai seorang penulis puisi dan drama di Dewan Bahasa dan Pustaka. Tidak tercatat beliau pernah menjadi wartawan di mana-mana akhbar sebelum itu. Cuma beliau pernah bertugas sebagai pengarang majalah DBP.

Namun kehebatan Johan sebagai pengarang dan penulis tidak boleh dipertikaikan. Semasa beliau menjawat sebagai Ketua Pengarang Kumpulan Utusan dari 1992-1998 beliau telah melakukan banyak perubahan dan peningkatan terhadap penerbitan di Utusan.

Salah satu perubahan yang dilakukannya ialah menukarkan nama pojok Awang Selamat kepada Awang Sulung. Manakala kolum setiap Ahad dalam Mingguan Malaysia, Johan telah menggantikannya dengan nama Lanang Sejagat-Selayang Pandang.

Selain itu beliau mengadakan dua kolum tetap yang ditulisnya sendiri iaitu Nota Kaki dan pojok Wak Cantuk. Ertinya, semasa Johan berada di Utusan selama lima tahun nama Awang Selamat tenggelam seketika.

Apabila Anwar Ibrahim dipecat dari Umno dan kerajaan pada 1998, Johan telah mengambil keputusan mengundur diri dari Utusan dan mengelaknya dari dipecat.

Kemudian setelah Johan pergi orang lain mengambil alih jabatan Ketua Pengarang; nama Awang Sulung dan Lanang Sejagat lenyap begitu sahaja. Maka kembalilah semula Awang Selamat mengisi pojok Bisik-Bisik setiap hari dan pada mingguan setiap Ahad.

Sabtu, 27 April 2013

Tips menulis dari Zam

TAN Sri Zainuddin Maidin atau Zam dalam entri terbaru blognya (27 April) menulis tentang halangan besar yang dihadapinya dalam menyiapkan buku ke enamnya yang baru terbit, "Di depan Api di belakang Duri" adalah ketika tiada mood untuk menulis.
Zam

Menurut Zam, bila ketiadaan mood menulis, kerja penulisan menjadi tertangguh. Sedangkan beliau diberi amanah dan tanggungjawab menghasilkan buku mengenai sejarah Utusan Melayu; di mana beliau telah berkhidmat selama 40 tahun. Buku yang baru terbit ini mengisahkan sejarah awal Utusan sehingga sekarang.

Sebagai jalan mengatasi tiada mood untuk menulis, beliau membaca buku karangan Susan Shaughnessy, "Meditations for Writers" bagi menyalakan api semangat dan komitmen untuk terus menulis setiap hari. Antara kata-kata semangat dalam buku itu;

1- The only way to write is to write today.
2- Today I'll recommit to writing regularly, no matter what my mood may be, I know I can write well under all kinds of condition.
3- Today, I "ll recognize that writing is something of value. It will cost me something.

So, kita pun boleh mengambil tips-tips tersebut bagi menyalakan api semangat untuk terus menulis.

Selamat menulis Tan Sri Zam.

Buku terbaru

Jumaat, 22 Mac 2013

Menulis dilaman sosial

SEBELUM adanya media laman sosial seperti Facebook dan blog para wartawan dan penulis menulis di media cetak seperti akhbar dan majalah. Baik wartawan yang bekerja dimedia cetak itu atau penulis yang menghantar sumbangan penulisan terlebih dahulu akan disunting dan diedit penulisan mereka sebelum diterbitkan.

Ada hasil tulisan itu akan diterbitkan seperti karya asalnya tanpa ada sebarang penyuntingan dan perubahan. Sesetengah penulisan itu ada sedikit pembetulan dari segi ejaan, koma, noktah dan sebagainya. Dan ada juga hasil penulisan itu terpaksa dirombak sepenuhnya tanpa menghilangkan isi dan maksudnya. Yang terakhir ialah dengan membakul sampah kesemuanya.

Kini dengan adanya FB atau blog sesiapa sahaja boleh menulis dan seterusnya diterbitkan dengan serta merta. Apakah kita seorang pelajar sekolah, mahasiswa, wartawan, penulis, malah seorang Profesor, segalanya akan terbit apa yang ditulisnya tanpa edit dari sesiapa.

Dilaman sosial kita adalah penulis, penyunting dan penerbit sekaligus. Hasil sesuatu penulisan itu, hatta satu atau dua baris sehingga 10-20 para akan memberi gambaran si penulis itu.

Maka dapatlah dilihat dan dinilai berbagai stail tulisan yang dipaparkan dari berbagai lapisan masyarakat dari pelajar sehingga para intelektual. Ada penulisan yang bersih dan rapi. Ada juga yang kelam kabut dari segi ejaan dan sebagainya.

Malah menjadi perkara biasa ini berlaku juga pada para bekas wartawan berpengalaman yang masih lagi menggunakan ejaan lama seperti masaalah (masalah) dan penggunaan perkataan ' mereka-mereka'.

Adanya laman sosial telah membuka peluang sepenuhnya pada mereka yang meminati penulisan. Ia menjadi satu medan latihan amali yang memberi kepuasan psikologi. Tidak kurang pentingnya ia juga menjadi cabaran untuk menulis dengan betul dan bersih.

Menulis dilaman sosial; kita adalah editor, penyunting dan pengkritik paling kejam !


Isnin, 11 Februari 2013

Tunku, Dr. Mahathir dan Abdullah menulis...

TUN Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Abdullah Ahmad adalah antara ahli politik pencen yang terus menulis aktif memberi pandangan mereka dalam isu-isu semasa.

Dr. Mahathir selain dari menulis dalam akhbar Utusan, beliau juga mempunyai blognya sendiri; chedet cc yang mempunyai jutaan para pembaca. Beliau terus menulis aktif dalam akhbar dan blognya itu.

Tunku
Tan Sri Abdullah Ahmad ialah bekas Setiausaha Politik, Tun Razak dan ahli parlimen Kok Lanas, Machang, Kelantan. Dia lebih dikenali dengan Dollah Kok Lanas. Bekas seorang wartawan dan pernah ditahan dibawah ISA semasa Tun Hussein Onn.

Tan Sri Abdullah tidak seperti Dr. Mahathir, beliau tidak menulis di alam maya (blog). Dia hanya menumpukan kolumnya di akhbar Sinar Harian setiap minggu.

Apa yang dilakukan kedua tokoh ini adalah sama seperti Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj lakukan semasa beliau dalam persaraan. Tunku menulis hampir setiap minggu dalam kolumnya "As I See It" di akhbar The Star. Banyaklah pandangan Tunku diluahkan termasuk mengkritik dasar-dasar kerajaan yang dirasakan tidak dipersetujuinya.

Dari pengakuan ketiga tokoh ini, Tunku, Dr. Mahathir dan Tan Sri Abdullah, mereka menulis dengan menggunakan tulisan tangan. Selepas menderaf sesuatu tulisan itu ia akan diedit dan ditaip semula oleh pembantu masing-masing sebelum diterbitkan.

Dr.Mahathir sedang menulis
Zaman Tunku belum ada lagi laman sosial seperti blog. Tan Sri Abdullah pula hingga kini tidak begitu mesra dengan penulisan dilaman sosial. Tulisan mereka berdua hanya diterbitkan untuk akhbar. Hanya Dr. Mahathir menulis di kedua media itu. Apa pun mereka menulis deraf dahulu sebelum ditaip pembantu dan kemudian diterbitkan.

Cara dan kaedah mereka menulis ini mungkin cara lama kerana mereka juga adalah orang lama. Berbeza dengan para penulis dan blogger zaman sekarang yang kebanyakannya menaip terus ke papan kunci komputer; melontarkan segala apa yang ada dalam fikiran mereka. Dan kemudian melakukan kerja edit secara pantas selepas itu.

Abdullah
Walau apa pun cara dan kaedah seseorang penulis itu ia banyak bergantung pada keselesaan individu itu. Ada lebih dan ada kekurangannya. Namun dengan suasana sekarang tentulah cara menggodam terus ke papan komputer lebih jimat dan cepat.

Tetapi bagi orang seperti Tunku, Dr. Mahathir dan Tan Sri Abdullah; cara mereka menulis tidak sedikit pun mengganggu penulisan mereka yang begitu prolifik dan tidak pernah kering dengan idea-idea bernas menyaingi para penulis dan blogger zaman sekarang.






Rabu, 30 Januari 2013

Kursus Penulisan

SAYA masih ingat ketika menunggu keputusan peperiksaan MCE pada tahun 1979, saya telah mengambil kursus penulisan secara gaya pos. Kursus itu dikendalikan oleh pensyarah komunikasi USM dan kolumnis terkenal pada tahun 70an dan 80an. Beliau ialah Mansor Ahmad Saman atau nama penanya TS Lanang.

Mansor
Kursus itu dijalankan secara kiriman nota kuliah seminggu sekali berdasarkan siri tajuk. Sekiranya kursus itu mempunyai 10 tajuk; ianya akan dikirim selama 10 minggu.

Saya mengambil dua jenis kursus. Pertama; Kursus Penulisan Berita dan Rencana dan kedua Kursus Penulisan Berkesan. Nota kuliah ditulis oleh Mansor Ahmad Saman. Manakala kursus lain seperti penulisan cerpen disediakan oleh sasterawan negara Abdullah Hussein. Penulisan skrip Drama Radio dan TV oleh Zakaria M.Z.

Bayaran untuk satu kursus ialah sebanyak RM 80. Kursus ini tidak mengeluarkan sijil bila tamat dan tidak ada ujian dijalankan. Cuma diakhir kursus ia membantu setiap peserta bagi mengirim hasil penulisan atau karya peserta kepada akhbar dan majalah tempatan.

Nota kursus yang disediakan oleh Mansor kebanyakannya adalah dari bahan yang diajarnya kepada para penuntutnya dalam bidang komunikasi massa di USM. Salah satu bahan kuliahnya berbentuk nota pernah saya beli di Kedai buku koperasi di USM. Sepuluh tahun kemudian ia diterbitkan dalam bentuk buku oleh penerbit Pustaka Cipta, Kuala Lumpur. Tajuknya, "So You Want To Be A Journalist".

Buku itu dalam bahasa Inggeris seperti dalam buku nota kuliah itu kerana Mansor mengajarnya dalam bahasa tersebut. Ianya sebuah buku yang menarik dan disampaikan dalam bahasa yang mudah.

Bagi saya Mansor boleh dianggap sebagai mentor dan guru saya dalam bidang penulisan. Apatah lagi pada ketika itu beliau begitu tersohor dengan kolumnya dalam akhbar dan majalah tempatan dengan menggunakan nama penanya TS Lanang.

Namun kini nama itu seolah hilang dan tidak lagi keluar dalam media tempatan. Mansor boleh dianggap sebagai seorang penulis prolifik dan unik dengan idea dan bahasanya yang menarik ramai pembaca.

Insya Allah saya akan sambung lagi bila ada kesempatan.