Rabu, 30 Januari 2013

Kursus Penulisan

SAYA masih ingat ketika menunggu keputusan peperiksaan MCE pada tahun 1979, saya telah mengambil kursus penulisan secara gaya pos. Kursus itu dikendalikan oleh pensyarah komunikasi USM dan kolumnis terkenal pada tahun 70an dan 80an. Beliau ialah Mansor Ahmad Saman atau nama penanya TS Lanang.

Mansor
Kursus itu dijalankan secara kiriman nota kuliah seminggu sekali berdasarkan siri tajuk. Sekiranya kursus itu mempunyai 10 tajuk; ianya akan dikirim selama 10 minggu.

Saya mengambil dua jenis kursus. Pertama; Kursus Penulisan Berita dan Rencana dan kedua Kursus Penulisan Berkesan. Nota kuliah ditulis oleh Mansor Ahmad Saman. Manakala kursus lain seperti penulisan cerpen disediakan oleh sasterawan negara Abdullah Hussein. Penulisan skrip Drama Radio dan TV oleh Zakaria M.Z.

Bayaran untuk satu kursus ialah sebanyak RM 80. Kursus ini tidak mengeluarkan sijil bila tamat dan tidak ada ujian dijalankan. Cuma diakhir kursus ia membantu setiap peserta bagi mengirim hasil penulisan atau karya peserta kepada akhbar dan majalah tempatan.

Nota kursus yang disediakan oleh Mansor kebanyakannya adalah dari bahan yang diajarnya kepada para penuntutnya dalam bidang komunikasi massa di USM. Salah satu bahan kuliahnya berbentuk nota pernah saya beli di Kedai buku koperasi di USM. Sepuluh tahun kemudian ia diterbitkan dalam bentuk buku oleh penerbit Pustaka Cipta, Kuala Lumpur. Tajuknya, "So You Want To Be A Journalist".

Buku itu dalam bahasa Inggeris seperti dalam buku nota kuliah itu kerana Mansor mengajarnya dalam bahasa tersebut. Ianya sebuah buku yang menarik dan disampaikan dalam bahasa yang mudah.

Bagi saya Mansor boleh dianggap sebagai mentor dan guru saya dalam bidang penulisan. Apatah lagi pada ketika itu beliau begitu tersohor dengan kolumnya dalam akhbar dan majalah tempatan dengan menggunakan nama penanya TS Lanang.

Namun kini nama itu seolah hilang dan tidak lagi keluar dalam media tempatan. Mansor boleh dianggap sebagai seorang penulis prolifik dan unik dengan idea dan bahasanya yang menarik ramai pembaca.

Insya Allah saya akan sambung lagi bila ada kesempatan.