Jumaat, 22 Mac 2013

Menulis dilaman sosial

SEBELUM adanya media laman sosial seperti Facebook dan blog para wartawan dan penulis menulis di media cetak seperti akhbar dan majalah. Baik wartawan yang bekerja dimedia cetak itu atau penulis yang menghantar sumbangan penulisan terlebih dahulu akan disunting dan diedit penulisan mereka sebelum diterbitkan.

Ada hasil tulisan itu akan diterbitkan seperti karya asalnya tanpa ada sebarang penyuntingan dan perubahan. Sesetengah penulisan itu ada sedikit pembetulan dari segi ejaan, koma, noktah dan sebagainya. Dan ada juga hasil penulisan itu terpaksa dirombak sepenuhnya tanpa menghilangkan isi dan maksudnya. Yang terakhir ialah dengan membakul sampah kesemuanya.

Kini dengan adanya FB atau blog sesiapa sahaja boleh menulis dan seterusnya diterbitkan dengan serta merta. Apakah kita seorang pelajar sekolah, mahasiswa, wartawan, penulis, malah seorang Profesor, segalanya akan terbit apa yang ditulisnya tanpa edit dari sesiapa.

Dilaman sosial kita adalah penulis, penyunting dan penerbit sekaligus. Hasil sesuatu penulisan itu, hatta satu atau dua baris sehingga 10-20 para akan memberi gambaran si penulis itu.

Maka dapatlah dilihat dan dinilai berbagai stail tulisan yang dipaparkan dari berbagai lapisan masyarakat dari pelajar sehingga para intelektual. Ada penulisan yang bersih dan rapi. Ada juga yang kelam kabut dari segi ejaan dan sebagainya.

Malah menjadi perkara biasa ini berlaku juga pada para bekas wartawan berpengalaman yang masih lagi menggunakan ejaan lama seperti masaalah (masalah) dan penggunaan perkataan ' mereka-mereka'.

Adanya laman sosial telah membuka peluang sepenuhnya pada mereka yang meminati penulisan. Ia menjadi satu medan latihan amali yang memberi kepuasan psikologi. Tidak kurang pentingnya ia juga menjadi cabaran untuk menulis dengan betul dan bersih.

Menulis dilaman sosial; kita adalah editor, penyunting dan pengkritik paling kejam !