Ahad, 26 Mei 2013

Johan, Awang Sulung dan Lanang Sejagat

AWANG SELAMAT adalah satu nama tidak asing dalam akhbar harian Utusan Malaysia. Ia muncul setiap hari sebagai ruangan pojok akhbar tersebut. Pada setiap Ahad dalam Mingguan Malaysia, Awang muncul dalam ruangan yang lebih meluas dengan analisa isu yang pelbagai.

Secara tradisinya pojok Awang Selamat ditugaskan pada Ketua Pengarang Kumpulan akhbar tersebut. Semua komen dan pandangannya adalah mencerminkan sikap dan pendirian akhbar Utusan.

Almarhum Tan Sri Melan Abdullah, Almarhum Tan Sri Mazlan Nordin dan Tan Sri Zainuddin Maidin adalah antara Ketua Pengarang Utusan yang pernah mengisi ruangan pojok tersebut.
Johan Jaafar

Tetapi pada tahun 1992 bila Datuk Seri Anwar Ibrahim mula bertapak dan berpengaruh dalam barisan kepimpinan Umno, beliau telah melantik dan membawa masuk Datuk Johan Jaafar ke dalam Utusan. Johan diberi tugas sebagai Ketua Pengarang menggantikan Zainuddin Maidin atau Zam.

Johan adalah orang pertama di luar Utusan diberi jawatan itu. Sebelum itu Pak Melan, Mazlan dan Zam bermula dan membesar dalam Utusan sehingga ke jawatan tinggi itu.

Yang menariknya, Johan mempunyai latarbelakang sebagai seorang penulis puisi dan drama di Dewan Bahasa dan Pustaka. Tidak tercatat beliau pernah menjadi wartawan di mana-mana akhbar sebelum itu. Cuma beliau pernah bertugas sebagai pengarang majalah DBP.

Namun kehebatan Johan sebagai pengarang dan penulis tidak boleh dipertikaikan. Semasa beliau menjawat sebagai Ketua Pengarang Kumpulan Utusan dari 1992-1998 beliau telah melakukan banyak perubahan dan peningkatan terhadap penerbitan di Utusan.

Salah satu perubahan yang dilakukannya ialah menukarkan nama pojok Awang Selamat kepada Awang Sulung. Manakala kolum setiap Ahad dalam Mingguan Malaysia, Johan telah menggantikannya dengan nama Lanang Sejagat-Selayang Pandang.

Selain itu beliau mengadakan dua kolum tetap yang ditulisnya sendiri iaitu Nota Kaki dan pojok Wak Cantuk. Ertinya, semasa Johan berada di Utusan selama lima tahun nama Awang Selamat tenggelam seketika.

Apabila Anwar Ibrahim dipecat dari Umno dan kerajaan pada 1998, Johan telah mengambil keputusan mengundur diri dari Utusan dan mengelaknya dari dipecat.

Kemudian setelah Johan pergi orang lain mengambil alih jabatan Ketua Pengarang; nama Awang Sulung dan Lanang Sejagat lenyap begitu sahaja. Maka kembalilah semula Awang Selamat mengisi pojok Bisik-Bisik setiap hari dan pada mingguan setiap Ahad.